WAHM @ Work At Home Mother Adalah Pilihan Saya

WAHM 5 Oktober 2014 yang lalu genap 2 tahun saya meletak jawatan di sebuah badan kerajaan. Keputusan yang diambil sangat tergesa-gesa kerana mahu menunaikan nazar saya. Nazar saya, jika saya hamil, saya akan berhenti kerja.

Allah tunaikan impian saya untuk bergelar seorang ibu. Mungkin hasil daripada doa yang tidak putus-putus untuk menimang cahaya mata. Ramai yang tidak setuju dan ada juga yang faham.

Perkahwinan Jarak Jauh bukanlah jiwa saya. Saya tidak kuat untuk bersendirian di negeri orang sedangkan saya sedang hamil. Memerlukan suami disisi menjaga saya ketika alahan. Bangun malam untuk melegakan muntah saya. Mengurut saya ketika saya keletihan dan sakit-sakit badan.

Membuat keputusan bukanlah perkara yang mudah. Tindakan saya menyebabkan ramai yang kurang senang dan saya bersyukur kerana pengarah bahagian memahami keadaan saya serta meluluskan perletakan jawatan saya.

Lalu kembalinya saya ke Terengganu, saya memilih untuk bekerja sendiri. Menjalankan perniagaan online yang telah lama saya tinggalkan. Memang perit untuk membina semula, meyakinkan pelanggan dan melariskan jualan.

Masih ada rezeki buat saya dan saya memilih untuk menjadi WAHM. Walaupun pendapatan suami sangat mampu untuk menyara kehidupan saya, saya memilih untuk berdikari.

Selepas berpantang, saya diperkenalkan dengan bisnes MLM Shaklee. Rezeki pertama saya dengan Shaklee sebanyak RM180.00 sahaja. Bagi anda mungkin ciput, bagi saya sudah besar nilainya. Sambil berniaga saya boleh menjaga anak saya yang masih kecil. Itulah kelebihan WAHM. Suami juga sokong seratus peratus.

WAHM Adalah Impian Saya

Cita-cita saya ialah ahli perniagaan dan sejak kecil lagi saya sendiri mengasah bakat saya untuk menjadi peniaga. Saya pernah berniaga gula-gula dan biskut di sekolah dan juga tempat mengaji.

Saya juga membawa katalog jualan langsung ke sekolah. Saya juga menjual sate di pasar malam dan menjual sayur-sayuran keliling kampung.

Minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan tidak luntur sehingga kini. Banyak impian saya tentang perniagaan yang masih belum dilaksanakan.

Berniaga bermaksud bekerja sendiri dan secara automatik, di mana-mana sahaja boleh menjalankan perniagaan termasuklah di rumah. Sebab itulah pilihan saya untuk berniaga dari rumah dan sekaligus menjadi surirumahtangga. WAHM adalah pilihan saya.

Kelebihan Menjadi WAHM

# Kebajikan Suami Lebih Terjaga

Inilah yang saya suka lakukan. Saya membantu meringankan beban suami dengan membasuh, menjemur, melipat baju-baju beliau, menyediakan hidangan makan malam dan sebagainya. Sebelum ini, semasa berjauhan, semuanya dilakukan oleh beliau sendiri.

Tugas-tugas rumahtangga diatur dengan sebaiknya memandangkan suami saya sibuk dengan kerja. Saya mahukan yang terbaik dan buat yang terbaik untuk beliau. Segala kerja rumah saya buat dan kadangkala jika cuti, suami juga membantu.

# Jimat Yuran Taska Anak

Dengan keadaan ekonomi semakin mencabar sekarang, harga barang semakin meningkat naik, termasuklah yuran persekolahan atau yuran nurseri. Menjadi WAHM adalah bonus untuk menjimatkan wang dari segi tidak perlu mengeluarkan belanja untuk taska.

Saya terfikir, jika saya bekerja saya perlu menghantar anak ke pusat jagaan atau taska. Yuran sebanyak RM200 ke atas pula dikenakan. Bangun awal, siap-siap untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke taska. Itu tidak termasuk drama swasta yang dilakonkan oleh anak-anak.

Saya menjaga sendiri anak selepas berpantang. Kadangkala, saya juga membawanya bersama-sama jika ke pejabat pos atau menghantar suplemen ke rumah pelanggan. Ke mana sahaja saya pergi, dia pasti akan dibawa bersama.

# Amalan Rohani

Jujur saya katakan, menjadi WAHM membuatkan saya lebih dekat dengan Sang Pencipta. Saya mempunyai masa untuk menunaikan solat sunat Dhuha pada waktu pagi dan mempunyai banyak masa untuk berada di tikar sejadah.

Bukan riak atau menunjuk, saya akui sebelum ini, saya jarang-jarang berzikir, apatah lagi membaca Al-Mathurat. Dengan status saya sekarang, saya sudah mula berjinak-jinak membaca Al-Mathurat setiap hari. Untuk bekalan akhirat saya kelak.

Saya juga teringin untuk mengikuti kelas-kelas agama yang dianjurkan oleh surau atau masjid-masjid. Cumanya belum berkesempatan lagi dan masih dalam pencarian.

# Anak-anak Adalah Permata Keluarga

Melihat anak membesar di depan mata setiap hari adalah sesuatu kenangan yang sangat indah. Perkembangan anak dari masa ke semasa dapat saya lihat dengan mata kepala saya sendiri.

Menjadi WAHM juga memberikan peluang kepada saya untuk mendidik mereka menjadi insan berguna. Saya dapat memberikan sumbangan dalam mendidik mereka dan mereka rapat dengan saya.

Perhatian sepenuhnya dapat saya berikan kepada mereka memandangkan anak masih kecil dan memerlukan jagaan yang rapi.

# Tidak Terikat Dan Lebih Bebas

Jika saya bekerja atau bermajikan, pastinya terikat dari segi cuti, pengurusan masa dan sebagainya. Menjadi WAHM membolehkan saya cuti bila-bila masa sahaja. Tidak perlu buat permohonan dan sebagainya. Saya bebas melakukan apa saja yang saya mahu.

Jika anak tidak sihat, saya tidak risau lagi kerana saya setia menjaga mereka. Tambahan pula, sewaktu anak tidak sihat, mereka lebih suka bersama ibu dan ayah.

Sebagai WAHM, sayalah bos dan sayalah pekerja. Masa saya, saya aturkan sendiri.

WAHM Adalah Impian Semua Ibu Di Dunia

Tidak dapat dinafikan bahawa, menjadi surirumahtangga dan sekaligus bekerja dari rumah adalah impian semua ibu di dunia ini. Namun kerana tidak ada pilihan lain dan dengan niat membantu suami, ramai ibu-ibu keluar bekerja.

Walaupun bekerja, ibu-ibu memang tidak melupakan tanggungjawab mereka terhadap keluarga. Waktu siang adalah masa berada di pejabat dan waktu malam digunakan sepenuhnya untuk keluarga.

Wanita atau ibu sangat istimewa kerana merekalah nadi keluarga. Tanpa mereka, siapalah kita bukan?.

Istiqomah Jalan Terbaik

Saya harap saya terus istiqomah untuk menjadi WAHM yang terbaik untuk keluarga saya dan anak-anak. Semoga apa yang saya usahakan memberi seribu kegembiraan buat mereka.

 

 

wahmWAN ZAINAB BT WAN MUHAMMAD
MOHD HAFIZULLAH MANSOR
Shaklee Independent Distributor
Tel : 013-232 1416/017-971 2818
Email : puteribongsu33@gmail.com
FB LIkes : Seri Bongsu Healthy

 

 

Seorang WAHM (work at home mother), isteri kepada suami yang penyayang dan ibu kepada seorang cahaya mata yang comel dan manja. Berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga dan masyarakat.

4 thoughts on “WAHM @ Work At Home Mother Adalah Pilihan Saya”

    1. Biasa2 je kak bie..tp pernah menangis, meraung la nak balik duk ngan tok laki..
      masa tu hamil nk masuh 2 bulan..tok laki mari ambik, balik selalu..dlm perjalanan balik tu, nk muntah ade..tok laki urut blkg sambil bawak kete..

  1. lagi2 sekarang ni byk WAHM yg ade income lg byk drpd yg keje ofis. tp dlm byk2 kan, saya paling sukak bab amalan rohani tu. tak payah dah nak terkejar2 or sorok2 nak solat dhuha & lepas subuh boleh buat macam2, tak payah nak siap2 pakai baju2 formal nakg kerja.

    1. Alhamdulillah. betul tu, tak perlu rushing setiap pagi. mana nak gosok baju lagi. Bila dah jadi wahm, bila2 masa je leh bukak Quran, leh lakukan solat sunat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *